Pages

Konsep Syahadah



Definisi :

Pengakuan Bahawa Tiada Tuhan yang Layak disembah Selain Allah dan Muhammad Adalah Utusan Allah.

Potongan Ayat Quran :

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan
kamu. (Al-Baqarah: 143)


Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya? (Al-Baqarah: 140)


Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Nisa’:165)

Pembahagian Syahadah :


Syahadah Perkataan

    Syahadah dalam bentuk perkataan ialah kita menjelaskan kepada seluruh manusia tentang kebenaran yang telah disampaikan kepada kita melalui perantaraan para nabi dan para rasul. Kita jelaskan kepada mereka menggunakan lisan dan pena atau apa sahaja cara dakwah dan sebaran menggunakan media cetak atau radio atau apa sahaja ciptaan manusia di kurun ke dua puluh ini yang boleh kita manfaatkan. Kita boleh gunakan segala cara ini dengan bantuan segala ilmu, teknik dan teori yang lama dan moden yang telah dihasilkan melalui kajian dan analisa manusia. Setelah itu kita kemukakan dakwah ini kepada seluruh manusia. Kita perkenalkan agama yang telah Allah pilih sebagai agama (cara hidup yang lengkap) untuk seluruh manusia. Kita huraikan kepada seluruh manusia tentang ajaran agama yang benar ini. Kita bentangkan kepada mereka tentang ajaran dan pedoman agama ini dengan tujuan mengajar manusia seluruh sistem hidup ini yang terdiri daripada akidah, prinsip, akhlak, tamadun, kehidupan bermasyarakat termasuk semua undang-undang dan
langkah-langkah berbentuk amali dalam aspek ekonomi, urusniaga, kehakiman, undang-undang dalam negeri, dasar am, pentadbiran dan semua perkara yang membabitkan masalah yang dihadapi oleh manusia dalam kehidupan mereka. Kita bentangkan semua perkara ini dengan disokong oleh hujah dan bukti. Kita buktikan
bahawa semua ini adalah betul dan tepat berdasarkan keterangan dan bukti. Di samping itu, kita mengkritik segala teori dan ideologi yang bercanggah dengan kebenaran ini dengan kritikan yang jujur berlandaskan teori-teori ilmu dan kajian agar tidak timbul lagi sebarang keraguan dan segala kebenaran akan jelas terpampang.



    Namun demikian perlu diingat syahadah dalam bentuk perkataan ini tidak akan dapat direalisasikan atau dapat terlaksana melainkan jika seluruh umat ini saling bekerjasama merealisasikannya. Seluruh umat ini mestilah bergabung untuk membimbing seluruh manusia dan memimpin mereka dan menjadikan kebenaran ini
sebagai matlamat hidup mereka, menjadikan kebenaran ini satu-satunya tumpuan yang tidak pernah lekang daripada ingatan mereka seperti yang telah dilakukan oleh para nabi ketika melaksanakan tanggungjawab mereka yang tidak pernah alpa untuk membimbing manusia walau sekelip mata. Dalam melaksanakan kewajipan ini adalah perlu langkah ini menjadi paksi yang memusatkan seluruh usaha dan seluruh tindaktanduk
kita. Langkah ini perlu menjadi fokus yang menggemblengkan seluruh kekuatan moral, fizikal dan material yang kita miliki. Langkah ini juga perlu menjadi objektif atau matlamat utama kita dalam apa jua kerja dan usaha yang kita lakukan. Namun jika wujud di kalangan kita mereka yang dengan jelas melaungkan kesesatan
dan menentang kebenaran, ia merupakan suatu keadaan yang tidak dapat diterima oleh sebuah masyarakat yang menjadikan Syahadah Al-Haq ini sebagai satu-satunya fokus dan tumpuan mereka, jika benar masyarakat itu jujur dengan dakwaan mereka.


Syahadah Perbuatan


   Syahadah dalam bentuk perbuatan pula bermaksud kehidupan seharian kita mestilah menjadi cermin yang membiaskan dasar dan prinsip yang kita yakini dan kitalaungkan. Dalam melaksanakan kewajipan ini sebenarnya ia tidak cukup dengan hanya kita memperdengarkannya kepada manusia dan menyebutnya dengan memuji serta mengagung-agungkannya. Sebenarnya apa yang dapat mempengaruhi dan memikat jiwa manusia ialah apabila mereka melihat dengan mata mereka sendiri kebaikan ajaran agama ini yang sering kita perkatakan dan kita tonjolkan melalui perbuatan kita sepanjang hidup kita. Apa yang dapat menarik manusia supaya menerima dakwah ini ialah apabila mereka dapat rasakan melalui pergaulan mereka dengan kita, suatu nilai akhlak dan amanah yang disemai oleh iman di dalam hati pemiliknya. Nilai-nilai ini akan membesar dan membuahkan hasil. Mereka dapat melihat sendiri dengan mata mereka contoh-contoh manusia soleh yang dilahir dan dididik oleh agama ini. Mereka dapat melihat sebuah masyarakat yang adil dan melaksanakan segala prinsip agama ini. Inilah caranya bagaimana manusia akan tertarik untuk berada di bawah bumbung agama yang benar ini. Mereka akan bernaung di bawah satu panji jika mereka dapat melihat sebuah masyarakat yang soleh dan suatu budaya yang murni terpampang di hadapan mata mereka. Mereka dapat lihat bagaimana elemen budaya, ilmu dan seni berkembang di dalam persekitaran masyarakat ini dengan berlandaskan prinsip Islam yang sejati dan abadi. Mereka dapat melihat bagaimana wujudnya suatu sistem ekonomi yang adil dan bersih daripada segala percakaran dan manipulasi yang kejam. Malahan manusia
secara semulajadinya akan tertarik untuk berada di bawah lembayung agama ini apabila mereka melihat sendiri bagaimana masyarakat yang berada di bawah naungan lembayung ini (lembayung agama). Di mana setiap sudut hidup mereka baik bersifat individu mahupun masyarakat semuanya berlandaskan akhlak yang mulia dan membawa kebaikan untuk seluruh bangsa manusia.


   Inilah yang dikatakan sebagai syahadah dalam bentuk perbuatan dan inilah ciri-cirinya. Jelas di sini, syahadah ini tidak mungkin dapat dilaksanakan melainkan setelah kita, sebagai individu atau masyarakat menjadikan diri kita sebagai contoh yang jelas kepada agama kebenaran yang kita laungkan ini, dalam bentuk perbuatan, dalam bentuk yang dapat dilihat kesannya dalam dunia realiti. Ini dapat dilakukan apabila amalan setiap individu ummah ini menjadi saksi kepada kebenaran dakwah ini dan akhlak mereka menjadi saksi kepada kemurnian dakwah ini. Setiap rumah kita diwarnai oleh ajaran agama yang agung ini. Setiap gedung perniagaan dan setiap kilang kita disinari sinar hidayahnya. Setiap sekolah dan setiap institusi pengajiannya
diterangi oleh cahayanya yang bergemerlapan. Setiap hasil sastera dan setiap akhbar kita menjadi wacana yang mengungkapkan keindahannya dan menjadi lidah yang mematikan hujah sesiapa sahaja yang cuba menolak kebenarannya. Demikian juga dengan dasar negara dan budaya masyarakat kita, seluruhnya menjadi contoh jelas kepada jalan lurus yang kita lalui, jalan yang kita mahu supaya seluruh manusia melaluinya dan bersama dengan prinsipnya.


    Namun jangan kita rasakan syahadah dalam bentuk perbuatan ini sudah cukup menandakan kita telah melaksanakan segala tanggungjawab kita dan kita mampu berhadapan dengan Allah di akhirat kelak. Tidak, sebenarnya syahadah ini tidak akan lengkap dan tidak akan terhasil melainkan setelah terbentuknya sebuah negara yang tertegak berlandaskan prinsip yang abadi seperti yang dinyatakan secara jelas oleh agama ini. Sebuah negara yang meletakkan usaha memartabatkan agama ini sebagai matlamatnya. Sebuah negara yang menjadikan pelaksanaan syariah Allah sebagai objektif dan misi utamanya. Sebuah negara yang merealisasikan sebuah negara Islam yang diimpikan. Di mana negara dan rakyatnya ditadbir dengan berlandaskan dasar yang adil, bersepadu dan bersumberkan seluruh teras agama. Malah negara Islam ini
dapat dilihat melalui nilainya yang adil, dasar-dasar pembaharuannya, corak pentadbirannya, keamanan dan keharmonian yang diberikan kepada rakyatnya, langkah-langkah pemulihan yang dijalankannya, akhlak mereka yang terlibat dalam pentadbirannya, keteguhannya berpegang kepada kebenaran, kejujuran, amanah dan bersih dalam dasar yang dilaksanakan di dalam dan luar negara, dalam menentukan status aman dan perang. Semua suasana ini dapat dilihat dalam negara ini hingga menyebabkan semua lapisan masyarakat akan bersuara: “Demi sesungguhnya, agama yang dapat membentuk dan membangunkan sebuah negara seperti ini sudah tentu agama yang pasti akan membawa kebahagiaan kepada seluruh manusia dan membawa penganutnya ke arah kejayaan di dunia dan di akhirat.” Apabila syahadah seperti ini digabungkan dengan syahadah dalam bentuk perkataan, sudah tentu hujah Allah mengatasi hujah manusia. Ketika itu kita tidak akan dipersoalkan lagi tentang tanggungjawab yang telah diletakkan di bahu umat Islam. Ketika itu, umat ini boleh bersuara mengikuti jejak Rasulullah s.a.w. di hadapan Allah, Pemilik yang Maha Kuasa, Maha Suci segala namaNya: “Kami telah sampaikan kepada seluruh penduduk bumi ini apa yang telah disampaikan kepada kami, tanpa mengenal erti penat lelah. Kami tidak bertanggung jawab terhadap mereka yang masih tidak mahu menerima kalimah hak dan enggan mengikut cara hidup sebenar yang diredai oleh Allah.
Mereka sebenarnya menzalimi diri sendiri dan mereka menurut jalan yang sesat kerana kezaliman dan keangkuhan mereka sendiri.”


Syahadah dan Realiti Ummah


   Syahadah dalam bentuk perkataan dan perbuatan yang perlu kita laksanakan ini adalah semata-mata kerana kedudukan kita sebagai orang Islam dan orang yang beriman dengan Allah, orang yang bangga dengan Islam dan iman. Saudara, marilah bersama saya untuk melihat dengan lebih mendalam, apakah kita benar-benar telah melaksanakan tanggungjawab yang besar ini? Kita mulakan dengan syahadah dalam bentuk perkataan. Jika anda perhatikan keadaan umat Islam hari ini dan anda paparkan akhlak dan tingkah laku mereka, anda pasti akan dapati bahawa mereka yang mengaku sebagai Islam melalui lidah dan pena mereka, sama ada sebagai individu atau sebagai sebuah masyarakat sebenarnya amat sedikit. Sementara mereka yang benar-benar melaksanakan tanggungjawab syahadah ini seperti yang diperintahkan oleh Allah dan rasulNya boleh dibilang dengan jari. Jika anda kecualikan jumlah yang sedikit ini anda akan lihat umat Islam yang mengaku sebagai Islam melalui lidah mereka sebenarnya telah mencemar nama baik agama ini di hadapan jiran mereka yang berlainan agama dan negara kerana akhlak mereka yang buruk dan tingkah laku mereka yang tidak senonoh.


   Jika anda mahu melihat lebih mendalam sila perhatikan umat Islam yang memiliki tanah. Mereka ini mengakui bahawa undang-undang pusaka yang digubal oleh Allah di dalam kitabNya merupakan suatu undang-undang yang tidak berguna sebaliknya amalan jahiliyyah yang mereka warisi daripada nenek moyang mereka lebih sesuai dan lebih baik untuk diamalkan. Sila lihat pula para hakim dan peguam yang hari-hari
mengakui bahawa undang-undang Islam adalah tidak betul dan tidak perlu dilaksanakan. Menurut mereka teori asas syariat Islam iaitu yang diturunkan oleh Allah, pada asasnya adalah tidak betul. Menurut mereka lagi, undang-undang manusia yang digubal oleh manusia seperti kita ini lebih sesuai untuk diamalkan dan
dilaksanakan dalam setiap urusan. Begitulah juga apabila anda perhatikan apa yang berlaku di peringkat universiti, kolej dan institusi pengajian termasuk pentadbir dan pensyarah-pensyarahnya, mereka mengakui bahawa segala teori yang dihasilkan oleh ilmuwan Eropah dalam bidang falsafah, sejarah, sains, ekonomi, politik, undang lebih dianggap logik dan disokong oleh kajian sains. Sementara pandangan Islam dalam bidang ilmu dan teori-teori tersebut tidak langsung diambil kira oleh para pensyarah dan profesor universiti kita. Demikian juga apabila anda perhatikan pengakuan para sasterawan melalui hasil karya mereka atau hasil pemikiran mereka yang menunjukkan mereka tidak mempunyai nilai sastera atau budaya tersendiri yang dapat mempengaruhi dan mencorak hasil sastera mereka melainkan pengaruh yang dibawa oleh sasterawan Inggeris, Perancis dan Rusia. Bagi mereka idea Islam yang selama ini melimpah ruah telah kering kontang. Alangkah dahsyatnya pengakuan ini. Mudah-mudahan Allah memelihara kita daripada akibat buruk semua ini.


   Dalam masa yang sama akhbar dan majalah kita juga menyerupai akhbar dan majalah bukan Islam. Segala isu, kandungan dan dakyahnya tidak jauh berbeza. Selepas itu sila lihat para peniaga dan pengusaha, sepanjang siang dan malam melalui cara dan kaedah urusniaga yang mereka jalankan menunjukkan mereka mengakui bahawa undang-undang yang disyariatkan oleh Islam seperti kontrak, jual beli dan peraturanperaturan yang telah ditetapkan oleh Islam bagi urusniaga yang dijalankan di pasar dan premis perniagaan adalah suatu yang mustahil untuk dilaksanakan pada hari ini. Tidak ada cara lain bagi para peniaga dan para pengusaha yang menjalankan urusniaga di premis perniagaan kecuali menggunakan cara yang salah yang digunakan oleh orang yang tidak berpegang dengan agama yang benar, mereka yang tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat. Sementara itu, para pemimpin kita dan juga mereka yang menentukan polisi ummah ini pula hanya memahami semangat kebangsaan atau semangat perkauman. Cara dan kaedah yang digunakan dalam menyelesaikan sesuatu isu nasional atau isu yang berkaitan dengan perlembagaan dan
dasar sama sepertimana yang digunakan oleh orang-orang kafir. Malah mereka dengan jelas menyatakan bahawa Islam tidak mempunyai apa-apa yang boleh dijadikan sebagai panduan atau cahaya yang dapat menerangi sebarang krisis antarabangsa berkaitan dengan perlembagaan dan dasar-dasar penting. Dalam masa yang sama, rakyat atau golongan majoriti ummah pula secara zahir membuat pengakuan melalui lidah mereka bahawa tumpuan mereka hanya berlegar sekitar soal keduniaan.

sumber: www.muslimdiary.com