Pages

Thursday, January 19, 2012

10 Amalan salah yang patut ditinggalkan~





Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-


1. Amalan kenduri aruah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.
8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.
9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.
10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia.

wallahua'am~

Wednesday, January 18, 2012

Rahsia Solat~



Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa ada sekali Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya.Pada masa itu ialah musim daun-daun gugur.Baginda ambil ranting sebatang pohon yg daun-daunnya mulai gugur dengan lebatnya,seraya Baginda s.a.w bersabda,"Ya Abu Zar! Apabila seorang Islam menunaikan solatnya kerana ALLAH,dosanya gugur seperti daun-daun ini gugur dari pohon ini".
Solat ini ada banyak kebaikan dan rahsianya. Antaranya, Inilah dia rahsia solat, sebagai peringatan bagi yang dah tahu atau panduan bagi yang baru tahu.
1 - Niat Sembahyang : Sebenarnya memeliharakan taubat kita dari dunia dan akhirat.
2 - Berdiri Betul : Fadilatnya, ketika mati dapat meluaskan tempat kita di dalam kubur.
3 - Takbir-ratul Ihram : Fadilatnya, sebagai pelita yang menerangi kita di dalam kubur.
4 - Fatihah : Sebagai pakaian yang indah-indah di dalam kubur.
5 - Ruqu' : Sebagai tikar kita di dalam kubur.
6 - I'tidal : Akan memberi minuman air dari telaga al-kautsar ketika didalam kubur.
7 - Sujud : Memagar kita ketika menyeberangi titian SIRATUL-MUSTAQIM.
8 - Duduk antara 2 Sujud : Akan menaung panji-panji nabi kita didalam kubur
9 - Duduk antara 2 Sujud (akhir) : Menjadi kenderaan ketika kita dipadang Mahsyar.
10 - Tahhiyat Akhir : Sebagai penjawab bagi soalan yang dikemukakan oleh Munkar & Nankir di dalam kubur.
11 - Selawat Nabi : Sebagai pendinding api neraka di dalam kubur.
12 - Salam : Memelihara kita di dalam kubur.
13 - Tertib : Akan pertemuan kita dengan Allah S. W. T.

Berdamai dengan takdir, bukan meyalahkan~



Rasulullah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini:”Ya Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.”

Mengapa? kerana diri kita lemah, ilmu cuma ‘sekerat’, kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw berpesan  agar serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.
Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikanNya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu… ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabienya.
Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stres, marah dan sedih. Itu biasa. Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan. Yang luar biasanya, apabila kita memilih untuk ‘berkelahi’ dengan takdir. Kita tidak menerima warna-warni kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir sebaliknya memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan kenapa? Mengapa? Sering menghantui jiwa.




Bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan menikmatinya sahaja. Kita tidak berkata, “sewajarnya ditambah warna kuning, dikurangkan warna jingga.”
Tidak! Kita tidak akan berkata begitu. Sebaliknya kita memilih untuk ‘bersahabat’ dengan alam dan menikmati lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang. Kita nikmati alam seperti seadanya… akur kepada Pencipta senja.
Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan ‘lukisan takdir’ pada kanvas kehidupan kita. Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama datangnya daripada Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan Allah dan tidak mahu menerima semua itu seadanya?
Berusahalah dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah, malah kita dituntut untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah. Apapun nantinya hasilnya, katakan pada diri, “aku harap yang baik, Allah akan memberi yang baik.”
Jika yang diharapkan berlaku, syukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka… sabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku… namun apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.
Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap takdirNya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu kita maka yakinlah Kasih SayangNya sentiasa mendahului kemurkaanNya. Yang pahit itu akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan menjadi penawar.
Jika itulah suara hati kita, mana mungkin kita gelisah, resah dan stres keterlaluan? Yakinlah, kita hamba Allah… Allah tidak akan mengecewakan kita!